Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita & Maklumat Terkini

Manage PermissionsManage Permissions
Titah Sempena Hari Perkhidmatan Awam Ke-24 Tahun 2017

TITAH

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Wadaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam

 

Sempena

 

Hari Perkhidmatan Awam Kali Ke-24 Tahun 1439 Hijrah / 2017 Masehi

 

Pada Hari Rabu, 3hb Rabiulawal 1439 bersamaan 22hb November 2017

 

Bertempat Di

Dewan Plenary,

Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas,

Negara Brunei Darussalam

 

 

 

 

Assalamu'alaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh

 

Bismillahir Rahmanir Raheem

 

Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

 

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah rahmat-Nya jua dapatlah kita berkumpul pada pagi ini di Majlis Kemuncak Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Ke-24.

 

Perkhidmatan Awam adalah nadi utama yang menentukan kemajuan dan keutuhan sesebuah negara.

 

Kerana itu, Beta sentiasa mengikuti perkembangan prestasi dan situasi Perkhidmatan Awam dari sudut perkhidmatannya.

 

Maka dalam hubungan ini, Beta sukacita mengambil maklum bahawa Jabatan Perdana Menteri sebagai agensi utama dalam memimpin Perkhidmatan Awam sedang giat melaksanakan Rangka Kerja Perkhidmatan Awam itu.

 

Salah satu transformasi yang telah dikenalkan mulai 1 Oktober 2017 ialah Sistem Pengurusan Prestasi Baru bagi semua warga Perkhidmatan Awam. Matlamat utamanya adalah jelas, iaitu untuk membolehkan penilaian hasil kerja setiap pegawai dan kakitangan adalah adil, telus dan objektif, serta mencerminkan sumbangan sebenar masing-masing.

 

Pada hemat Beta, memang sesuai sistem penilaian memberikan tumpuan kepada Petunjuk Prestasi Utama atau Key Performance Indicator (KPI) di samping Penilaian Kompetensi. Dalam hal ini, Beta menyeru setiap warga Perkhidmatan Awam untuk benar-benar mengambil serius dalam melaksanakan Sistem Penilaian Prestasi Baru ini mengikut garispandu yang telah ditetapkan.

 

Beta percaya sistem baru ini juga akan lebih menyumbang kepada produktiviti dan daya saing dalam memberikan perkhidmatan yang berkesan dan berkualiti serta menggalakkan inovasi sebagai budaya kerja.

 

Menyebut mengenai inovasi, warga Perkhidmatan Awam, tidak boleh tidak, perlu menjana idea-idea baru bagi memacu penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan. Disinilah pemimpin-pemimpin Perkhidmatan Awam dari peringkat Setiausaha Tetap, Ketua Jabatan malahan peringkat ketua unit perlu memainkan peranan mereka dalam melakukan rebiu semula keatas tatacara atau proses pemberian perkhidmatan.

 

Beta percaya kejayaan akan lebih menyerlah lagi apabila berlaku penyertaan yang meluas dari seluruh lapisan Perkhidmatan Awam. Budaya inovasi ini juga boleh menjadi penggalak kepada pelaburan asing bagi kemanfa'atan ekonomi.

 

Bercakap mengenai ekonomi, Alhamdulillah, usaha Kerajaan ke arah penambahbaikan pada setakat ini, telahpun menampakkan tanda-tanda positif.

 

Baru-baru ini, Laporan Bank Dunia mengenai Ease of Doing Business bagi tahun 2018 telah menyatakan kedudukan negara sebagai terus meningkat kepada 56 anak tangga dari kedudukan 105, tiga tahun sebelum ini. Negara kita juga terus diiktiraf  sebagai satu ekonomi yang paling meningkat atau most improved dalam melaksanakan reformasi bagi tiga tahun berturut-turut. Lebih membanggakan lagi, satu petunjuk iaitu 'Getting Credit' telah meraih tangga kedua tertinggi di dunia.

 

Pencapaian yang menggalakkan ini adalah bukti jelas keberkesanan kepimpinan dan pendekatan 'whole-of-nation'. Beta yakin, persekitaran perniagaan di negara ini akan dapat dipertingkatkan lagi sehingga mencapai anak tangga 20 teratas atau 'Top-Twenty' yang disasarkan.

 

Bagaimanapun, pada hemat Beta, semua inisiatif yang disusun di bawah Rangka Kerja Perkhidmatan Awam tidak akan sempurna tanpa mengambil kira faktor-faktor kerohanian, akhlak dan etika bagi warga Perkhidmatan Awam.

 

Warga Perkhidmatan Awam yang baik ialah mereka yang berkhidmat dengan jujur dan amanah, bukan yang cekap tetapi curang. Kecekapan tidak akan bernilai apa-apa jika ia digunakan untuk menganiaya manusia. Kalau siapa diberikan kuasa, maka kuasa itu adalah amanah, tidak boleh digunakan sewenang-wenang, seperti untuk kepentingan diri sendiri atau untuk menjejaskan orang lain, sekalipun yang terjejas itu hanya sekadar 'nama baik' sahaja.

 

Ini adalah penting. Beta tidak mahu di dalam Perkhidmatan Awam ada orang yang menyalahgunakan kuasa, atau tukang-tukang fitnah atau tukang-tukang cipta fitnah. Ini semua, tidak mendatangkan sebarang kebaikan, melainkan sebaliknya banyak mengundang kepada keburukan. Perkhidmatan Awam mesti bersih daripada semua ini, barulah negara dan kerajaan akan beroleh berkat.

 

Beta pernah mendorong supaya mengamalkan semangat berpasukan, lebih-lebih lagi bagi warga Perkhidmatan Awam, kerana kerja-kerja yang dibuat secara berpasukan itu boleh mendatangkan lebih kebaikan. Tetapi apabila disebut berpasukan, ia bukanlah satu "pakatan", dalam makna komplot atau kronisme. Komplot atau kronisme biasanya mempunyai ketua untuk mengontrol ahli-ahli kumpulan berkenaan, tetapi pasukan bukan begitu. Sifat pasukan adalah semata-mata muafakat dan mesyuarat.

 

Semua ini perlu dibezakan.

 

Akhirnya, Beta dengan besar hati mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada penerima-penerima Anugerah Pekerja Cemerlang dan pemenang-pemenang Anugerah Kumpulan Kerja Cemerlang Perkhidmatan Awam. Beta berharap anugerah-anugerah ini dapat menjadi sumber inspirasi kepada semua warga Perkhidmatan Awam untuk mempertingkatkan lagi tahap kecemerlangan perkhidmatan.

 

Beta juga tidak lupa mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada pegawai dan kakitangan yang bersara pada tahun ini di atas sumbangan dan jasa bakti mereka semasa dalam perkhidmatan. Semoga Allah Subahanahu Wata'ala jua, yang akan membalas pengorbanan mereka itu dengan ganjaran yang berlipat ganda.

 

Sekian Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

 

***


Attachments